Isnin, 12 Januari 2009

SOLAT TASBIH

Solat ini dinamakan solat tasbih atau tasabih kerana didalamnya mengandungi 300 tasbih. Lafaz tasbih: Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illa Allah, wallahu akbar.

KELEBIHAN TASBIH

Banyak kelebihan bertasbih memuji Allah. Antaranya:

Sabda Rasulullah:
Dua kalimah yang mudah diucapkan oleh lidah, tetapi kedua-dua kalimah itu berat pada timbangan Allah, kedua-dua kalimah itu disukai oleh Tuhan al-Rahman iaitu: Subhanallahi wabihamdihi, subhanallah al ‘azim.

Sabda Rasulullah:
Bahawa aku ucapkan: Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illa Allah, wallahu akbar; lebih aku sukai dari segala apa yang ada pada hari itu.

Sabda Rasulullah:
Empat perkataan yang amat disukai oleh Allah Ta’ala, yang tidak menjadi masalah engkau memulakannya dengan menyebut mana-mana dahulu: Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illa Allah, wallahu akbar.

Pernah Rasulullah bertanya kepada para sahabat: Tidakkah seseorang itu merasa lemah untuk melakukan seribu (1,000) kebaikan setiap hari? Lalu salah seorang sahabat bertanya: Bagaimana seseorang dari kami boleh melakukan seribu kebaikan? Jawab Nabi: Bertasbihlah dengan seratus (100) kali tasbih. Nanti Allah akan tuliskan untuknya 1000 kebaikan dan menghapuskan 1000 kesalahan.

Rasulullah bersabda:
Aku bertemu Nabi Ibrahim pada malam aku di “Isra’ ”kan. Nabi Ibrahim berpesan: Wahai Muhammad, sampaikan salam aku kepada umatmu. Beritahu mereka, bahawa syurga itu tanahnya amat subur, amat tawar airnya. Di sana ada tanah kosong yang tidak mempunyai pokok. Untuk menanamnya bacalah: Subhanallah, wal hamdulillah, wala ilaha illa Allah, wallahu akbar.
TATACARA SOLAT TASBIH

Solat Tasbih sama seperti solat-solat sunat yang lain. Cuma solat tasbih mengandungi bacaan tasbih yang banyak. Solat ini dilakukan sebanyak 4 rakaat. Jika dilakukan pada sebelah malam, lakukanlah 2 rakaat dengan satu salam. Kemudian teruskan pula dua rakaat lagi dengan satu salam. Sempurnalah 4 rakaat. Jika dilakukan pada sebelah siang, lakukanlah 4 rakaat berterusan dengan satu salam sahaja.


Niat Solat Tasbih:

Malam : Sahaja aku sembahyang sunat tasbih 2 rakaat kerana Allah Ta’ala.
Siang : Sahaja aku sembahyang sunat tasbih 4 rakaat kerana Allah Ta’ala.

Tatacara solat Tasbih telah dijelaskan oleh Rasulullah kepada bapa saudaranya, Abbas seperti hadith berikut.

Daripada Abi Rafi’ r.h, Dia berkata, Rasulullah berpesan kepada Abbas: Wahai bapa saudaraku, tidakkah engkau mahu aku hubungi silaturahim dengan engkau, tidakkah engkau mahu aku menyintai engkau, tidakkah engkau mahu aku memberikan sesuatu yang bermanfaat kepada engkau?. Jawab Abbas: Mahu ya Rasulallah. Sabda Rasulullah: Sembahyanglah empat (4) rakaat. Engkau bacakan pada setiap rakaat, Surah al-Fatihah dan diikuti dengan membaca surah. Selepas itu bacalah (tasbih): Allahhu akbar, walhamdulillahi, wasubhana Allah 15 kali sebelum engkau ruku”. Kemudian ruku’ dan baca (tasbih) 10 kali. Kemudian angkat kepala kamu (‘iktidal) dan baca (tasbih) 10 kali. Kemudian sujud, bacalah (tasbih) 10 kali. Kemudian angkat kepala engkau (duduk antara dua sujud) dan bacalah (tasbih) 10 kali. Kemudian sujud dan bacalah (tasbih) 10 kali dan sebelum engkau bangun berdiri (10 kali tasbih). Maka kesemua itu 75 (tasbih) pada setiap rakaat, dan jumlah semuanya pada 4 rakaat sebanyak 300 kali. (HR Turmuzi)

KELEBIHAN SOLAT TASBIH

Selain kelebihan pahala bertasbih, Solat Tasbih juga adalah penebus dosa. Sabda Rasulullah s.a.w:
(Wahai bapa saudaraku) kalaulah dosa engkau sebanyak pasir, Allah akan ampunkan dosa engkau. (HR Turmuzi)

KEDUDUKAN SOLAT TASBIH

Setelah Rasulullah menjelaskan tatacara Solat Tasbih kepada Abbas, Baginda menjelaskan pula kedudukan atau tuntutannya.

Abbas bertanya: Siapakah yang mampu untuk menunaikannya pada (tiap-tiap) hari?. Sabda Rasulullah: Jika engkau tidak mampu melakukannya setiap hari, lakukanlah pada setiap Jumaat (sekali seminggu). Sekiranya tidak mampu melakukan pada setiap Jumaat, lakukanlah pada setiap bulan. Rasulullah terus menjelaskan sehingga beliau bersabda: Lakukanlah walaupun setahun (sekali). HR Turmuzi
HUKUM SOLAT TASBIH

Bagi kebanyakan ulama Mazhab Syafie, Solat Tasbih hukumnya sunat. Pendapat ini antaranya dikemukakan oleh Abu Muhammad al-Baghawi dan Abu Mahasin al-Ruyani. Demikian juga dengan pendapat salaf, Abdullah bin al-Mubarak. Sungguhpun begitu, ulama hadith tidak menerima hadith mengenai solat tasbih dan mengatakan hadith tersebut adalah gharib dan daif. Namun hadith mengenai kelebihan membaca tasbih adalah sahih. Wallahu‘alam.

Sabtu, 10 Januari 2009

KISAH RAHSIA DI SEBALIK SEMBAHYANG LIMA WAKTU, PUASA DAN SYAFAAT NABI SAW

Ali bin Abi Talib r.a berkata : "Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata : ' Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat- kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab (terhampir).'
Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: 'Silakan bertanya.' Berkata orang Yahudi: 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.' Sabda Rasullullah S.A.W. : 'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah
segala sesuatu kepada tuhanNya, Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi, Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.‘
Sembahyang Isya' itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku, Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.'
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang?’
Rasullullah S.A.W bersabda: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.' Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'
Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan'. Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Sembahyang Isya' (attammah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari
terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.'
Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya: 'Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan iaitu:
• Dibebaskan dari api neraka
• Dibebaskan dari nifaq (sifat munafik).
Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.
Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari. Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya'. Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.’ Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T. tujuh perkara:
• Akan dicairkan daging haram yang tumbuh di badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram).
• Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
• Diberi oleh Allah sebaik-baik amal
• Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
• Diringan baginya siksa kubur (siksa yang sangat mengerikan).
• Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
• Allah S.W.T. akan memberinya balasan syurga.'
Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.'
Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).'
Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).'
"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah : 155)