Rabu, 3 September 2008

ANDA BOLEH CEGAH MIGRAN

Oleh Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden

Ketika berumur 13 tahun, Shila mengalami episod migrannya yang pertama. Ibunya telah mencuba sedaya upaya untuk membantu mengurangkan kesakitan yang dialami anaknya tapi terhad.Ibu Shila sendiri menderita penyakit migrain selama 30 tahun dan faham benar ketidakselesaan dan kekecewaan anaknya. Kini, Shila telah menjangkau usia 25 tahun dan sudah dapat merasai petanda kedatangan sakit migrain. Rasa tertekan dimulai dengan sakit kepala.Lazimnya, sakit ini berlanjutan selama beberapa jam. Oleh itu, Shila cuba mengurangkannya dengan beberapa cara setelah berbincang dengan doktor peribadinya.Dia akan mengambil pil kodein dengan preskripsi sesuai dengannya dan baring di bilik yang malap untuk beberapa jam. Biasanya, migrain itu akan hilang dalam masa tiga atau empat jam. Shila juga mendapati terdapat beberapa jenis makanan yang boleh mencetuskan migrain seperti telur, kacang dan jagung. Oleh itu, dia mengelak makanan berkenaan.Lapan hingga 12% rakyat Malaysia mengalami migrain dan ramai daripada mereka adalah wanita. Sekurang-kurangnya 60% penderita mewarisi migrain dan 70% dari pesakit migrain mendapat migrain pada satu bahagian kepala sahaja. Penderita migrain juga akan mendapat migrain sekurang-kurangnya satu hingga tiga kali sebulan.

APAKAH ITU MIGRAIN?

Migrain disebabkan pengembangan saluran darah di otak yang lazimnya bermula dengan rasa sakit berdenyut, diikuti sakit kepala yang teramat sangat. Sakit ini biasanya disertai dengan rasa mual, sakit abdomen, hilang selera makan, muntah dan cirit-birit.Pesakit mungkin pucat dan merasa seram sejuk. Kelakuan juga berubah dan keresahan akan menjurus kepada kelesuan. Gangguan visual juga mungkin berlaku seperti pandangan yang kabur dan perit apabila melihat cahaya terang. Sesetengah pesakit menjadi keliru dan tidak tentu arah.

TANDA AMARAN MIGRAIN

Cahaya berkilau atau strok zig-zag seperti kilat yang seakan-akan datang dari arah belakang mata.Rasa tertekan, resah tak menentu dan gementar.Otot rasa lemah dan badan rasa lesu.

RAWATAN DAN CARA MENGELAKKAN MIGRAIN

Elakkan makanan mengandungi tyramine, seperti keju, ikan pekasam, jeruk, hati ayam, daging proses seperti burger dan hotdog, serta alkohol.Elakkan makanan yang mengandungi MSG (monosodium glutamate).Berhati-hati ketika makan makanan yang dikaitkan dengan penyebab sakit kepala seperti telur, kekacang, bawang putih, gandum, bahan tenusu, jagung dan coklat.Rancang satu jadual bangun pagi pada waktu yang sama dan juga jadual makan pada selang kala yang tetap.

Selain itu, faktor fizikal dan mental boleh menjadi penyebab migrain. Stres juga boleh mencetuskan migrain. Oleh itu, elakkan situasi yang boleh mengakibatkan stres dengan membuat perancangan awal. Anda juga boleh berbincang dengan doktor supaya dia boleh memberi preskripsi ubat yang ada hubungan dengan migrain.Sesetengah wanita mempunyai kecenderungan untuk mendapat migrain sebelum kedatangan haid, semasa mengandung dan setelah putus haid kerana perubahan tahap hormon. Perubahan cuaca, kekurangan tidur dan keletihan juga boleh mencetuskan migrain.Oleh itu, cara paling baik untuk mengurangkan episod migrain adalah dengan mengetahui bagaiman menguruskan diri anda baik dari segi pemakanan mahupun gaya hidup anda.

Tiada ulasan: