Rabu, 3 September 2008

KEPENTINGAN BERKONGSI ILMU

Oleh Dr. Tengku Fadilah Tengku Kamalden

Perkembangan serta perhatian yang diberi kepada sukan dan wanita pada masa kini amat menggalakkan. Dalam kita merancang dan membangunkan program haruslah kita pastikan bahawa kita pro-aktif dalam meneliti hasil kajian dari dalam dan luar negara.
Yayasan Sukan dan Kecergasan Malaysia (WSFFM) merancang beberapa kerjasama penyelidikan dengan Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/IPTS).

Matlamat utama kerjasama ini adalah untuk membuktikan hipotesis tentang penglibatan wanita dalam sukan. Memandangkan Menteri Belia dan Sukan, Dato Azalina Othman Said, amat menekankan kepentingan terhadap perangkaan serta analisa terhadap parameter untuk menjustifikasi setiap program yang dijalankan, WSFFM menyediakan geran penyelidikan bersama.

Penyelidikan bersama ini akan merangkumi usaha sama di antara ahli sukan dan para ahli akademik. Pada awal Januari 2007, WSFFM menjalankan kajian terhadap empat faktor penting dalam Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) di Malaysia. Kajian itu melibatkan 51 PSK dan faktor yang telah dikaji merangkumi:

Bilangan, umur dan tahap pegawai teknikal.
Bilangan, umur dan tahap pengadil.
Bilangan, umur dan tahap atlet.
Struktur organisasi untuk wanita dan sukan.

Berdasarkan hasil awal kajian ini, WSFFM akan menganjurkan kursus teknikal/ kepengadilan dan kejurulatihan bersama dengan PSK. Para peserta adalah dari seluruh Malaysia dan dari umur 18-25.

Ini adalah untuk memberi latihan dan pensijilan terutama kepada wanita yang masih aktif beraksi dalam sukan. Adalah menjadi harapan WSFFM agar ramai wanita akan melengkapkan diri mereka dengan pensijilan ini.

Langkah kritikal selepas ini adalah untuk memastikan mereka mengambil bahagian dalam sukan sehingga boleh menjadi jurulatih profesional/ pasukan kebangsaan. Para peserta perlu memberi keutamaan untuk menggunakan ilmu yang diterima untuk membangunkan diri sendiri serta para wanita yang lain.

Kursus ini akan menglibatkan sebanyak 12 sukan Sukan yang akan dipertandingkan dalam Sukan Wanita Kebangsaan Ke-2 dari 1-9 Jun 2007 di Kuala Lumpur.
Lapan sukan teras akan turut terlibat dengan kerjasama Bahagian Sukan Teras, MSN. WSFFM telah mendapat sokongan yang amat menggalakkan daripada MSN, PSK, Sukan Teras dan Bahagian Kejurulatihan MSN untuk pengendalian kursus-kursus ini. Kami berharap agar sokongan sepenuhnya diberi oleh kaum wanita untuk memastikan mereka akan mempunyai prestasi yang tertinggi.

Tiada ulasan: