Jumaat, 26 September 2008

DI MANA HALA PANDANGAN MATA KETIKA SEMBAHYANG?

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Hala pandangan mata ketika sembahyang boleh membantu
seseorang itu memperolehi kekhusyukan dalam sembahyang dan
adakalanya pula ia boleh menyebabkan kekhusyukan itu hilang,
umpamanya jika terpandang sesuatu yang boleh mengganggu
fikiran mahupun tumpuan hati terhadap Allah Subhanahu wa
Ta‘ala ketika sembahyang.

Maka atas dasar ini, hala pandangan mata ketika sembahyang itu
merupakan suatu perkara yang sangat penting untuk diberi
perhatian kerana ia sangat berkait rapat dengan kekhusyukan.
Kemanisan ibadat sembahyang tidak akan dapat dirasa atau
diperolehi tanpa adanya rasa khusyuk ketika mendirikannya.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang

Orang yang mendirikan sembahyang, tidak kira sama ada orang
yang celik matanya, orang buta mahupun orang yang mendirikan
sembahyang di tempat yang gelap, sunat menetapkan hala
pandangan mata ke arah tempat sujud dari permulaan hendak
mengangkat takbiratul ihram sehinggalah selesai sembahyang
kecuali pada beberapa tempat yang dikecualikan, iaitu:

1. Ketika duduk tasyahhud. Ketika duduk tasyahhud disunatkan
menghalakan pandangan mata ke arah jari telunjuk tangan kanan
ketika mengangkatnya dan ini berterusan sehinggalah jari telunjuk
kanan tersebut tidak lagi diangkat.

Bagaimanapun, menurut Imam asy-Syabramallisi Rahimahullah
jika orang tersebut tidak memiliki jari telunjuk kerana terputus atau
sebagainya maka disunatkan baginya menghalakan pandangan
matanya ke arah tempat sujud.
Begitu juga sebelum mengangkat jari telunjuk kanan, disunatkan
menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud.

2. Ketika sembahyang Khauf iaitu sembahyang dalam keadaan
takut dan pada ketika itu, orang yang bersembahyang itu
berhadapan dengan apa yang ditakutinya seperti musuh di dalam
situasi peperangan, binatang buas, orang yang hendak merampas
hartanya dan sebagainya, maka dalam keadaan ini sunat
menghalakan pandangan mata ke hadapan iaitu ke arah apa yang
ditakutinya itu kerana menjaga nyawa dan harta bendanya.

3. Tidak disunatkan menghalakan pandangan mata ke arah tempat
sujud jika terdapat lukisan, gambar, ukiran dan sebagainya pada
tempat sujud jika ia boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan
ketika sembahyang.

Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, hikmah
disunatkan menetapkan hala pandangan mata ke arah tempat sujud
sepanjang mendirikan sembahyang ini adalah kerana ia mudah
untuk dilakukan serta dapat membantu kekhusyukan, di samping
itu pula tempat sujud merupakan suatu tempat yang sangat mulia.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Di Hadapan Atau
Di Dalam Ka‘bah

Sebahagian ulama berpendapat bahawa sunat menghalakan
pandangan mata ke arah Ka‘bah ketika sembahyang di hadapan
Ka‘bah. Akan tetapi pendapat ini tidak dipersetujui oleh Imam al-
Bulqini Rahimahullah. Pendapat ini juga turut dianggap sebagai
pendapat yang lemah oleh Imam al-Isnawi Rahimahullah.
Adapun pendapat yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘e
sepertimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj ialah
sunat menghalakan pandangan mata ke arah tempat sujud
walaupun ketika sembahyang di hadapan Ka‘bah mahupun di
dalamnya.

Hala Pandangan Mata Ketika Sembahyang Jenazah
Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah, sungguhpun
tiada sujud yang disyariatkan dalam sembahyang Jenazah, akan
tetapi disunatkan juga untuk menghalakan pandangan mata ke arah
tempat sujud dengan menganggarkan kedudukan tempat sujud itu.
Ada pula pendapat yang dinukilkan daripada perkataan Imam al-
Mawardi Rahimahullah yang mengatakan bahawa sunat
menghalakan pandangan mata ke arah jenazah ketika
menyembahyangkannya, akan tetapi pendapat ini didha‘ifkan oleh
Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitab Tuhfah al-
Muhtaj.

Hukum Menutup Mata Ketika Sembahyang

Menutup mata ketika sembahyang, sungguhpun ada pendapat yang
mengatakan hukumnya adalah makruh kerana menyerupai
perbuatan orang-orang Yahudi, akan tetapi pendapat ini bukanlah
pendapat yang kuat kerana ia bersandarkan kepada hadits yang
dha‘if.

Maka dalam hal ini, Imam an-Nawawi Rahimahullah lebih
cenderung untuk mengatakan bahawa menutup mata ketika
sembahyang itu tidak makruh, akan tetapi perbuatan tersebut khilaf
al-awla (menyalahi yang utama). Ini kerana tidak pernah
dikhabarkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun
para sahabat Radhiallahu ‘anhum menutup mata mereka ketika
sembahyang.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi makruh bahkan adakalanya
menjadi haram jika perbuatan menutup mata ketika sembahyang
itu boleh mendatangkan kemudharatan kepada dirinya mahupun
orang lain.

Imam Ibnu ‘Abdussalam Rahimahullah pula memfatwakan
bahawa jika membuka mata ketika sembahyang itu boleh
mengganggu kekhusyukan serta tumpuan seseorang ketika
sembahyang, misalnya pada tempat dia mendirikan sembahyang
itu penuh dengan ukiran-ukiran pada dinding, tiang, lantai dan
sebagainya yang boleh mengganggu kekhusyukan dan tumpuan
ketika sembahyang, maka dalam hal ini adalah lebih utama
menutup mata daripada membukanya.

Bagaimanapun, menutup mata ketika sembahyang adakalanya
menjadi wajib, iaitu apabila tiada cara lain yang dapat dilakukan
selain daripada menutup mata bagi mengelakkan daripada
terpandang akan sesuatu yang haram.

Hukum Menghalakan Pandangan Mata Ke Arah Langit
Ketika Sembahyang

Makruh menghalakan pandangan mata ke arah langit (ke atas)
ketika sembahyang walaupun tanpa mendongakkan kepala. Begitu
juga makruh mendongakkan kepala walaupun tanpa menghalakan
pandangan mata ke arah langit, tidak kira orang tersebut celik
matanya mahupun orang buta.

Ini berdasarkan sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Anas
bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallahu
‘alaihi wasallam telah bersabda:

مَا بَا ُ ل َأْقوَامٍ يَرَْفعُو َ ن َأبْصَارَهُمْ إَِلى السَّمَاءِ فِي صَ َ لاتِهِمْ، َفاشْتَدَّ َقوُْلهُ فِي َذلِكَ

حَتَّى َقا َ ل َليَنْتَهُنَّ عَنْ َذلِكَ َأوْ َلتُخْ َ طَفنَّ َأبْصَارُهُمْ.

(رواه البخاري وأبو داود وابن ماجه)

Maksudnya: “Kenapakah (kebiasaan) sebilangan kaum
mengangkatkan pandangan mereka ke langit ketika
sembahyang !?” Kemudian sabda Baginda menjadi semakin tegas
sehinggalah Baginda bersabda : “Hendaklah mereka itu berhenti
daripada berbuat demikian atau penglihatan mereka itu akan
disambar (dibutakan mata mereka).”
(Hadits riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Berdasarkan pendapat ini, para ulama mengambil kesimpulan
bahawa makruh juga hukumnya menghalakan pandangan mata ke
arah sesuatu yang boleh menjejaskan kekhusyukan seseorang
ketika sembahyang, umpamanya menghalakan pandangan ke arah
pakaian ataupun sejadah yang memiliki lukisan, gambar dan
sebagainya.

Hukum Membaca Al-Qur’an Melalui Mushaf Ketika
Sembahyang

Membaca al-Qur’an dengan melihat mushaf ketika sembahyang,
tidak membatalkan sembahyang, tidak kira sama ada ayat-ayat
yang dibaca itu sudah dihafal ataupun belum. Ini berdasarkan suatu
riwayat bahawa Zakwan iaitu hamba milik ‘Aishah Radhiallahu
‘anha pernah mengimamkan beliau dengan membaca al-Qur’an
melalui mushaf pada bulan Ramadhan.
Begitu juga tidak batal sembahyang kerana membalik kertas
mushaf mahupun buku ataupun kertas yang tertulis padanya ayatayat
al-Qur’an yang dibaca daripadanya ketika sembahyang,
selama mana orang itu dapat menjaga pergerakannya daripada
melakukan tiga pergerakan berturut-turut yang mana menurut
mazhab as-Syafi‘e perbuatan seumpama ini akan membatalkan
sembahyang.

Bagaimanapun menurut mazhab as-Syafi‘e, membaca al-Qur’an
dengan melihat mushaf ketika sembahyang ini hukumnya adalah
makruh kerana ia menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab. Maka
sebaiknya perbuatan tersebut dielakkan, kerana selain daripada
menyerupai perbuatan ahli-ahli kitab, ia juga boleh mengurangkan
kekhusyukan serta mengganggu tumpuan ketika sembahyang.
Bagi orang yang tidak hafal Surah al-Fatihah pula, wajib baginya
membaca Surah al-Fatihah melalui mushaf ketika sembahyang.
Adapun di luar sembahyang pula, menurut sebahagian ulama,
membaca dengan cara melihat mushaf itu adalah lebih afdhal
kerana ia menggabungkan dua ibadat dalam satu masa iaitu
membaca mushaf dan melihatnya, sebab melihat mushaf itu pun
merupakan suatu ibadat. Di samping itu, membaca daripada
mushaf dapat membantu bagi mengelakkan daripada berlakunya
kesalahan ketika membacanya.

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa membaca melalui
hafalan itu lebih afdhal kerana ia menjauhkan daripada timbulnya
sifat ria‘, di samping itu juga ia lebih menambahkan rasa khusyuk
ketika membacanya.

Penutup

Pandangan mata sangat berpengaruh terhadap jiwa, fikiran serta
tumpuan seseorang, apatah lagi ketika sedang sembahyang, kerana
syaitan itu sering sahaja mencari-cari peluang untuk mencacatkan
sembahyang seseorang.

Dari itu, hala pandangan mata ketika sembahyang bukanlah suatu
perkara yang remeh. Ia sangat berkait rapat dengan kesempurnaan
sembahyang seseorang kerana ia dapat membantu seseorang itu
menghadirkan hatinya ketika sembahyang, sekaligus akan
mendatangkan rasa khusyuk. Kerana itulah orang yang sedang
sembahyang di sunatkan untuk menetapkan pandangan matanya ke
arah tempat sujud sepanjang mendirikan sembahyang kecuali pada
tempat-tempat serta keadaan-keadaan tertentu. Ini bagi
mengelakkan seseorang itu daripada terpandang segala perkara
yang boleh mengganggu kekhusyukan serta tumpuannya ketika
sembahyang.

Tiada ulasan: